Monday, 13 September 2010

Mesyuarat : mencapai maksud sebenarnya..

Apabila sebut tentang mesyuarat, ada pelbagai gaya mesyuarat dilaksanakan. Ada yang suka buat mesyuarat berdiri, bagi memastikan mesyuarat tidak meleret-leret, ada mesyuarat makan-makan, dan bermacam-macam lagi stail pengendalian mesyuarat. Semuanya banyak bergantung kepada kebijaksanaan pengerusi dan juga kerjasama ahli mesyuarat yang lain. Namun begitu, walau apapun cara pengendalian mesyuarat, apa yang paling penting adalah; suatu mesyuarat itu sebaiknya melalui konsep syura yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.


Kenapa bermesyuarat (bersyura)?

Sebelum sesuatu mesyuarat itu bermula kita seharusnya meletakkan niat yang sebetulnya, iaitu mendapat redha Ilahi. Maka dengan itu secara automatik mendapat pahala syura. Pastinya apabila niat disandarkan kepada Allah swt, seorang hamba harus bersungguh-sungguh dan membuat sehabis baik. Tidak sepatutnya ada ahli syura yang tidur ataupun berborak-borak semasa ia dijalankan.

Contoh lain paling mudah adalah, jika kita meletakkan matlamat untuk mendapat penyelesaian terbaik pada pandangan Allah (bukan pandangan orang lain), maka syura kita bukan sekadar mendengar suara majoriti, namun suara pihak minoriti juga diberi peluang atas platform mesyuarat. Setiap pihak mempunyai peluang untuk menyuarakan pendapat dan membentangkan ia sebaik mungkin.

Tiada isu siapa lebih ramai pengikut, mempertahankan ego, atau takut menjadi perosak suara majoriti.

Apa yang penting, mendapatkan keputusan dan pendapat yang terbaik demi kerana Allah swt (umpama kes Hang Nadim the child prodigy and brave risk-taker in the tale of Singapura Dilanggar Todak).

Contoh lain, para sahabat yang berani menyuarakan pendapat masing-masing kepada Rasulullah sewaktu berbincang untuk strategi perang.
Apabila masing-masing dengan niat yang betul, dan mahukan yang terbaik, maka para ahli syura pasti akan berlumba-lumba mencari penyelesaian terbaik kerana Allah, bukannya penyelesaian terbaik untuk diri sendiri atau mendiamkan diri sahaja. InsyaAllah pahala syura dapat di situ.


Proaktif, tiada idea sampah, semuanya ada potensi menjadi idea yang bernas!

Tagline satu blog popular ada menyatakan bahawa erti hidup pada memberi. Benar, idea merupakan salah satu daripadanya. Sewaktu saya menghadiri satu kursus Kreativiti baru-baru ini, kami diajar untuk mengeluarkan segala idea sebanyak mungkin (spray out all ideas).

Matlamatnya di sini adalah mendapatkan kuantiti idea yang maksimum, bukannya kualiti. Pada proses seterusnya barulah semua idea itu dianalisis dan ditapis. Kebaikan metod ini di sini adalah, kita tidak akan menjadi pasif, menyimpan idea-idea hanya di dalam otak dan tidak mahu diceritakan kerana merasakan ia adalah idea bodoh. Namun sebenarnya, bila kita berada dalam lingkungan mesyuarat ini, kita mempunyai banyak buah fikiran. Oleh itu, idea yang mungkin nampak bodoh di mata kita, mungkin dapat dilihat dalam pandangan atau aspek yang berbeza oleh orang lain. Oleh itu, kemungkinan juga idea bodoh itu mampu diterjemah oleh ahli syura yang lain dalam cara yang kita sendiri tidak terfikirkan sebelum ini?! Ha, jika dibuang awal-awal idea itu, bukankah kita yang rugi?


Bila keputusan mesyuarat nampak serba tak kena

Selain itu, apabila sesuatu aktiviti sedia ada kurang memuaskan pula, pilihan terbaik bukanlah untuk meninggalkan terus cadangan atau aktiviti tersebut, menyalahkan sang pencadang, atau semua yang membuat keputusan pada waktu itu!

Tetapi seharusnya kita redha dengan segala ketentuan Allah. Semua kesan daripada keputusan yang disyurakan walaupun mungkin bukanlah yang terbaik di mata kita, namun pastinya ia baik di pandangan Allah swt. Jika adapun kesilapan atau kekurangan pada keputusan syura kita dahulu itupun, ia mungkin gagal atau susah oleh Allah swt kerana Allah mahu mendidik kita dengan kegagalan tersebut.

Oleh itu, aktiviti atau program sedia ada yang dikira kurang memuaskan atau bermasalah itu harus dianalisis mendalam dan dibuat penambahbaikan atau pengubahsuaian jika perlu (post-mortem). Jika benar-benar ia harus dihapuskan atau tidak diteruskan, maka barulah ia ditetapkan sebegitu.


Rumah siap, pahat berbunyi..?

Ini merupakan situasi yang biasa berlaku sekiranya sesuatu meyuarat itu dijalankan dengan ahli-ahlinya yang tidak faham matlamat mesyuarat. Sesuatu keputusan yang diputuskan di dalam sesebuah mesyuarat sebaiknya mendapat redha semua. Walaupun hanya ada seorang yang tidak bersetuju dengannya, sebaiknya disuarakan apa sebab dan alasan di sebaliknya. Menjadi tanggungjawab ahli mesyuarat untuk menyelesaikan hal ini, sehingga semua benar-benar redha dengan keputusan tersebut.

Sukar untuk puaskan hati semua? Memang benar. Tetapi, jika alasan dan sebab yang disuarakan oleh ahli yang seorang itu memang logik dan bernas, seharusnya ia diambil perhatian. Jika sebaliknya, maka tidak mengapalah.

Oleh itu, pastikan selepas syura, redha menjadi komponen utama di dalamnya. Maka, dengan keredhaan itu, kita akan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah swt dan tiada lagi cakap-cakap belakang.


Be professional (lillahitaala)

Orang kata, “be professional”, atau “no hard feelings”. Ya, sebaiknya begitu. Jangan disimpan dendam. Walaupun begitu, ia bukanlah lesen untuk kita bercakap dengan bahasa yang kasar atau tidak beradab semasa di dalam mesyuarat. Orang Islam atau orang timur tetap ada adab sopannya.

Lagipun, kata-kata yang penuh dengan emosi negatif, ego tinggi, mahupun tanpa budi bahasa sangat menyakitkan hati. Akhirnya, idea yang baik tidak akan nampak dicelah-celah bahasa yang kurang sopan itu dan dibayangi sikap kurang ajar penuturnya. Ingin sekali saya kongsi sikap profesional sesetengah orang arab dalam mesyuarat. Mereka mungkin kelihatan seperti bergaduh semasa di dalam mesyuarat. Yalah, masing-masing mahu mempertahankan idea yang dirasakan baik untuk semua. Walaupun begitu, di akhir mesyuarat mereka akan berjabat tangan, berpelukan dan berbaik semula. (khalas, finito, 0-0, No hard feelings).


Tanggungjawab semua

Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua, khususnya muslim untuk cuba menyucikan hati masing-masing supaya dapat menjadi ikhlas dan telus dalam setiap pekerjaan kita. Hati yang suci bersih pastinya lebih tenang. Bukankah pekerjaan kita ini adalah ibadat? Jadikan setiap perbuatan kita Allah-centred dan cuba mengikuti jejak langkah Rasulullah dan para sahabat. Tiada yang mustahil! Jika tidak sesuai untuk diikuti pada zaman ini, masakan Allah menurunkan Rasulullah sebagai contoh teladan kita? Semoga dapat keredhaanNya.
Selamat bermesyuarat!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails