Wednesday, 12 August 2009

Cerita hal negara pulak-hikmah di sebalik H1N1.

Sekarang ini, banyak cerita berkaitan hal-hal sensitif dan bersifat perkauman menjadi isu dalam media massa dan internet. Ia juga menjadi cerita hangat di kedai kopi dan salun kecantikan. Tidak mustahil juga suatu hari nanti peristiwa berdarah 1969 boleh berulang jika isu ini tidak dibendung.

Saya memikirkan, bagus juga H1N1 menular sekarang. Sekurang-kurangnya perhatian masyarakat, khususnya media massa tidak terlalu melampau terhadap isu sensitif ini. Apapun, saya melihat, apa yang berlaku, pemimpin-pemimpin kita tidak memimpin rakyat ke arah yang benar dalam menyelesaikan masalah ini.

Kenapa tidak menyelesaikannya mengikut puncanya? Kalau nak merawat luka yang dalam, bukanlah sekadar menutupnya dengan plaster. Bukan setakat mencuci luka membabi-buta, tetapi selidik dahulu apakah punca luka itu terjadi dan apakah rawatan terbaik dan sesuai untuknya?

Apakah punca meletusnya isu beberapa kelompok manusia yang menghina kelompok manusia lain dan juga agama lain? Adakah kerana tiada hormat? Adakah salah rakyat memilih pembangakang? Adakah ini dikatakan tidak kenang budi? Apa sudah jadi dengan RukunNegara? Nampaknya sistem buatan manusia yang tidak dipaksikan kepada al-haq pasti akan tumbang.

Saya melihat, semua ini sebenarnya berpunca daripada kejahilan kedua-dua kelompok tersebut tentang budaya, pemikiran, adat resam, dan agama antara satu sama lain. Ya, itulah yang terjadi sebenarnya.

Tidak dinafikan, ramai yang melatah, lalu membuat macam-macam laungan yang mencaci antara satu sama lain. Apa nak jadi dengan pemimpin kita?

Punca seterusnya ialah adanya yang menjadi batu api mahu memainkan isu ini di negara ini bagi memecah belahkan rakyat Malaysia. Mereka ini tidak pernah senang melihat keamanan negara ini.

Bagaimana nak atasi masalah ini?
Mudah saja, tukarkan kejahilan mereka itu kepada kefahaman sebenar dan telus. Kenapa harus disembunyikan al-haq? Ceritakan kepada mereka tentang Islam. Ceritakan kepada kenalan anda yang bukan Islam tentang keindahan Islam. Aplikasikannya dalam cara hidup masing-masing. Bantu juga yang Islam untuk memahami pegangan mereka sendiri. Supaya tidak timbul lagi salah faham tentang alkohol, nama Islam, dan sebagainya.

Kenapa harus bersikap tidak adil dengan memperjuangkan kaum semata-mata? Kaum tidak boleh dipilih, namun agama boleh dipilih. Allah Maha Adil. Tidak menilai manusia melalui kaumnya.

Wahai para pemimpin, pergilah fahamkan sahabatmu tentang keindahan Islam. Bantu mereka fahaminya. Bukan sekadar menempelak kejahilan mereka di dada-dada akhbar dan blog. Wahai orang Islam sekalian, jadilah muslim yang sebenar. Giatkanlah usaha untuk memahamkan orang di luar sana tentang Islam. Ingatlah, Islam tidak bersifat eksklusif dan tertutup.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails