Friday, 18 July 2008

Fitrah Manusia




Fitrah manusia ialah sentiasa mencari kebaikan. Mahu menuju ke arah kebaikan. Itulah sebabnya kita lihat ada keinsafan yang terbit dalam jiwa manusia yang normal, mahu bertaubat. Kita juga lihat fitrah manusia mencari TuhanNya, iaitu jika dipandu baik, akan membawa kepada fikrah islam.

Maka bila orang berkata, di peringkat remaja ada masanya kita rebellious, melawan ibubapa, terkeliru dengan personaliti diri dan membuat jahat adalah sesuatu yang normal, saya terfikir; benarkah itu normal?

Haruskah kita keliru dengan diri sendiri sedangkan kita sudah mempunyai al-Quran dan As-Sunnah yang lengkap sebagai panduan?
Adakah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W juga menghadapi saat-saat sukar seperti itu?
Bagaimana pula dengan kisah pemuda kahfi?
Ataupun kematangan Saidina Ali?
Mahupun Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakluk Constantinople pada usia yang maíz remaja?

Saya terfikir, teori psikologi remaja itu seperti tidak releven. Malah, saya juga merasakan seperti saya tidak pernah melalui peringkat itu. Sebenarnya semua teori itu hanya berlaku pada generasi yang lemah, yang tidak tahu tujuan kehidupannya di dunia ini. Mereka tidak sedar bahawa mereka diciptakan oleh Allah SWT dengan tugas yang penting, lalu mereka dibesarkan tanpa pengetahuan itu dan akhirnya leka di dalam kehidupan dunia.

Saya pernah terbaca satu artikel tulisan seorang warga Amerika menyatakan bahawa kanak-kanak kita sejak kecil lagi dibebankan dengan isu-isu dunia yang berat seperti kemiskinan dan peperangan di negara lain. Lalu saya terfikir, benarkah mereka terbeban? Benarkah mereka terlalu muda untuk itu? Jadi apakah masa yang sesuai untuk mendedahkan mereka kepada realiti di sekeliling mereka dan tanggungjawab mereka? Kemudian, pada masa yang sama, kanak-kanak di Kemboja, Palestin dan beberapa negara yang tidak aman juga mengangkat senjata.

Ini menjadikan saya agak keliru pula dengan faktor usia dan kematangan ini. Maklumlah, kini saya sendiri dikelilingi orang-orang dewasa yang berkelakuan seperti budak-budak. Malah dulu juga saya seperti itu. Dunia juga telah melatih kita untuk menjadi bodoh dan kekal menjadi kanak-kanak. Masakan tidak? Kita sering dimomokkan dengan kartun-kartun, komik, teddybear yang comel, cerita superhero, dan games yang tidak logik. Memang benar, sedikit sebanyak ia telah mengganggu psikologi kita.

Di saat saya tertanya-tanya, akhirnya seseorang memberikan jawapan yang saya nantikan. Seorang kakak pernah berkata, Allah SWT telah membahagikan manusia kepada beberapa peringkat umur. Di antara kayu ukurnya adalah umur kita mumayyiz dan akil baligh. Jadi sewaktu akil baligh, kita sudah sepatutnya tahu mana yang baik atau buruk, dan sudah berilmu untuk menjadi imam dalam solat. Bukan lagi seorang remaja yang masih khayal dan membazir masa dengan Naruto dan merempit di jalanan.

Bila sebut pasal fitrah juga, saya pelik dengan keterbalikan fitrah manusia kini. Manusia berlumba-lumba mahu menjadi jahat. Manusia kini berbangga menjadi manusia yang nakal, manusia yang jahat. Malah mereka malu untuk membuat kebaikan.
Katanya malu menjadi budak baik atau budak skema.
Dunia benar-benar sudah terbalik.
Manusia sepatutnya “adopt” fikrah islamiyah, tetapi jalan syaitan pula yang diikuti. Mungkinkah mereka sudah digoda syaitan dan iblis, lalu mengabaikan fitrahnya?
Bila manusia tidak mengikut fitrahnya, maka kehidupannya akan hancur dengan sendirinya…mampukah kita tunggu dan lihat sahaja?

i R o N i K

Situasi #1

Hari-harinya dimulakan dengan ayat-ayat Allah,
berdoa,
bertasbih memuji Allah,
Kemudian pula bila sudah tamat waktu Subuh,
dibukanya radio sekuat-kuatnya.
Lagunya?
Memuji dan memuja cinta manusia, lebih daripada cinta Allah.
Bait-bait liriknya mengatakan tidak boleh hidup tanpa kekasihnya.
Nampaknya seperti tiada bezanya dengan mensyirikkan Allah.

Situasi #2
Majlisnya dimulakan dengan ayat-ayat Allah, dengan doa untuk memberkati majlis,
Kemudian diteruskan pula dengan acara nyanyian mengagungkan kecintaan terhadap manusia, atau negara melebihi segala-galanya, termasuk Allah SWT.
Di manakah sebenarnya kita letakkan Allah? Di dalam hati kita atau sekadar dalam doa?

Memang ironik. Umpama seorang doktor yang membantu menyelamatkan pesakitnya di waktu siang dan membunuh pula orang lain di waktu malam.
Tetapi lebih ironiknya kita telah mensyirikkan Allah secara tidak sedar. Ia bukan sekadar sebuah lagu. Lagu yang dimomokkan setiap hari pasti menusuk jauh ke dalam hati kita.
Bait-bait lagunya kita hafal melebihi menghafal ayat-ayat cinta daripada Allah SWT. Ironik bukan?

Abu Jahal si Jahiliyah

Definisi jahiliah yang biasa kita dengar adalah bodoh, dan tak tahu.
Abu Jahal digelar sebegitu adakah kerana ia bodoh atau tak tahu?
Abu Jahal tahu impak yang dibawa oleh kalimah syahadah yang dibawa oleh Islam, maka dia takut untuk mengakuinya, kerana mengakui kalimah syahadah bermakna mengakui bahawa seluruh kehidupan hanyalah berpaksikan kepada Allah SWT dan tiada selainNya.

Dua kalimah ini juga meletakkan tanggungjawab di bahu pengucapnya untuk memastikan seluruh alam tunduk kepada penciptaNya.
Lalu Abu Jahal yang bodoh ini hanya memikirkan kerugian yang bakal dihadapi dari segi perniagaan, amalan nenek moyang yang diwarisi dan perkara-perkara lain apabila mengucapkan dua kalimah tersebut.

Betapa singkatnya pemikiran beliau!
Betapa ruginya beliau!

Di atas sebab itu jugalah beliau sering mengganggu usaha dakwah Rasulullah untuk membawa kebenaran Islam.

Masih adakah Abu Jahal dalam kalangan kita?
(jika dilihat AJ tak mahu ikut islam kerana takutkan kerugian kecil, manusia zaman kita pula takut nak ikut islam sebenar kerana takutkan pandangan orang, takut nak meninggalkan kebiasaan dan keseronokan, takut kehilangan keluarga dan kawan-kawan?)

Rib’i bin Amir dengan pakaian compang-camping ketika berjumpa Rustum, Panglima Perang bangsa Parsi telah berkata:

“Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia ini dari perhambaan kepada sesama manusia menuju perrhambaan hanya kepada Rabb manusia, dari kesempitan dunia,menuju keluasan akhirat, dan dari kezaliman agama-agama (selain islam)"

Dunia ini sempit berbanding akhirat yang tiada akhirnya (eternity). Segala nikmat yang didapati sekarang hanyalah umpama mikrob yang halus berbanding nikmat di akhirat yang juga umpama seluruh alam cakerawala ini. tetapi manusia masih lagi mengejar dunia dan memilih untuk menjadi hamba kepadanya.

Hasilnya, manusia kini berhambakan duit, televisyen, cinta, fesyen, muzik, komputer, dan hobinya.
Apa yang dinyanyikan di mulutnya adalah “I cannot live without you”
Padanya “tiada lafaz yang lebih agung dari kalimah cinta seorang wanita”
Hidupnya tidak bererti tanpa cable tv atau kad kredit, atau kereta kesayangannya.

Di manakah paksi kehidupannya?
Di manakah nilai syahadahnya?


Apakah Ilah (sembahan)nya yang sebenar?
Apakah erti Allah pada kita sebenarnya?

Kalimah syahadah yang kita sebut setiap kali dalam solat:
“TIADA Tuhan yang disembah MELAINKAN Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Al-kahfi:14
Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata; “Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Ilah selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”

Menyembah Allah SWT dengan penuh keimanan dan keyakinan membawa kita kepada kebenaran yang hakiki, iaitu Islam. Jika kita menyeru kepada selain Allah, maka kita telah membawa ke jalan yang menjauhi kebenaran, iaitu jalan yang menuju kemusnahan.

Jalan apakah lagi yang menjauhi Islam dan syurgaNya?
Fikirkan.

Al-kahfi: 15
“Kaum kita ini telah menjadikan selain Dia sebagai illah-illah (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka). Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”

Apabila kita menyembah benda lain lebih daripada Allah, maka secara automatik kita menjadi orang yang zalim. Ini kerana kita tidak mengikut fitrah dan tidak membawa kepada kebenaran. Lihat sahajalah kepada dunia materialisme yang kita duduki sekarang. Bukankah banyak pembohongan dan kezaliman yang berlaku?

Al-Jatsiyah:23
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai illahnya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya?

Mahukah kita membiarkan Allah mengunci mati pendengaran, penglihatan, dan hati kita daripada mendekatiNya disebabkan oleh perbuatan kita sendiri yang terlalu mengikut hawa nafsu? Mahukah kita dibiarkan sesat tanpa arah tuju?

Jahiliyah umpama makanan segera (fast food). Makanan segera memang nampak sedap berbanding nasi dan lauk sayur yang kita makan. Tapi, tanpa kita sedari, sebenarnya makanan segera yang sedap itulah yang merosakkan tubuh badan mereka dari dalam sedikit demi sedikit.
Malah, lebih teruk lagi, ia membunuh kita.

Itulah yang berlaku sekarang. Kita nampak jahiliyah itu lebih seronok dan mudah daripada jalan Islam, tapi sebenarnya ia merosakkan fitrah kita sebagai manusia ciptaanNya. Satu kerugian besar buat kita dan seluruh umat manusia.

Pilih : Jahiliyah atau Islam?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails