Monday, 4 June 2007

Ikatan yang dibiar Terlerai


“Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara.”

Ayat itu seperti sudah biasa saya dengari sejak kecil lagi, sehinggakan saya bersikap acuh tak acuh terhadapnya. Malah, saya tidak pernah sedar bahawa ia terdapat dalam hadis dan dinyatakan dalam al-Quran. Namun kini, alhamdulillah, selepas saya mula belajar tentang Islam, saya mula sedar apa yang dimaksudkan oleh hadis ini sebenarnya.

Bila bercakap pasal persaudaraan sesama Islam, teringat pula kisah perang Badar dan juga kisah tamadun Islam dahulu yang berada di bawah satu payung yang sama, iaitu di pemerintahan khalifah. Di waktu itu tiada semangat nasionalis, yang ada, hanyalah persaudaraan sesama Islam. Namun begitu, realitinya sekarang tidaklah seindah dulu. Pagi semalam saya terbaca sesuatu yang kurang saya senangi di akhbar tempatan. Berikut adalah sedikit petikan penting daripada berita yang bertajuk:
Ketegangan di selatan Thailand tidak rencat aktiviti di Bukit Kayu Hitam.

“Meskipun ketegangan di wilayah selatan Thailand dilaporkan bertambah buruk, namun ia tidak merencatkan aktiviti perniagaan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Bukit Kayu Hitam di sini.”

“Rata-rata peniaga dan orang ramai yang ditemui pula menyifatkan kegegangan di wilayah selatan Thailand tidak menimbulkan kebimbangan kepada mereka untuk berkunjung atau berniaga di situ kerana yakin dengan tahap keselamatan negara.”

“Lagipun, kedudukan ICQ Bukit Kayu Hitam terletak agak jauh dengan wilayah yang bergolak itu.”

“...oleh itu, saya rasa tiada apa yang perlu dibimbangkan jika mahu berniaga atau membeli belah di sekitar ICQ ini.”

“..Bahkan saya menerima lebih ramai pelanggan memandangkan sekarang ialah musim cuti sekolah.”

“Dilaporkan, ketegangan di selatan Thailand bertambah buruk apabila 18 orang termasuk 11 anggota separa tentera terbunuh dalam dua insiden berasingan malam kelmarin.”

Isu di selatan Thailand yang telah lama berlaku nampaknya dipandang sebelah mata sahaja. Isu itu juga dianggap isu orang Thailand semata-mata. Nampaknya ikatan persaudaraan di antara muslim di Thailand dan Malaysia telah terlerai. Tiada siapa yang ambil peduli tentang keadaan penduduk Islam di sana. Entah-entah insiden Tak Bai pun mereka tak tahu-menahu apa yang telah berlaku dan kenapa berlaku pemberontakan dan keganasan di selatan Thailand. Apa yang ada, hanyalah semangat pentingkan diri, iaitu hasil daripada ideologi nasionalis yang diterapkan ke dalam sanubari kita.
Orang kita hanya tahu membeli-belah. Majoriti orang Islam kita juga hanya merasakan bahawa “Nasib baiklah di negara kita aman, tidak seperti mereka.”
Lihatlah bagaimana kepentingan umat diambil sambilewa. Saya tidak mengharapkan orang kita mengangkat senjata melawan, tetapi sekurang-kurangnya ambil tahu tentang apa yang berlaku. Kemudian, jika boleh, bantu mana yang termampu sebijak mungkin. Yang paling penting, cuba membela agama dengan cara mentarbiyah (didik) diri dan berdakwah kepada orang lain supaya orang Islam tidak akan tertindas lagi. Ini kerana, segala jawapan terdapat dalam al-Quran, dan hadis. Sejarah juga telah membuktikan sunatullah ini.

Persoalannya sekarang, mampukah anda bersukaria sewaktu kakak anda yang berjiran dengan anda didera suaminya dan hidup dalam ketakutan hanya untuk menuntut hak sebagai seorang manusia?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails