Wednesday, 21 February 2007

MUHAMMAD RAHMATAN LIL ‘ALAMIN - Kempen Cintai Rasulullah


…Mari kita melihat sejarah dengan mata hati….

Flashback  Hampir 2 tahun lalu, seorang ustazah saya pernah memberi komen tentang pembentangan saya dan rakan saya yang bertajuk Strategi Perjuangan Dakwah Rasulullah. Saya tak pasti sejauh mana komennya itu memberi impak kepada rakan saya, namun ia sangat mengubah pandangan saya terhadap pembelajaran sirah nabi secara keseluruhannya.

Beliau berkata bahawa pembentangan itu masih kekurangan sesuatu. Kami masih hanya membentangkan apa yang dipelajari di sekolah dahulu, iaitu hanya di permukaannya sahaja. Tidak mendalam dan tiada refleksi.

Katanya, “memang benar, strategi yang awak telah bentangkan itu semua, tapi apa yang boleh kita dapat daripada semua strategi itu? Apa yang boleh awak pelajari daripadanya? Bagaimana untuk kita aplikasikannya ke dalam hidup kita sekarang?”
Memang ternganga mulut saya dibuatnya. Di sekolah kita hanya tahu mengangguk dan menerima segalanya tanpa menggunakan HOTs (higher order thinking skills). Yang saya tahu, habiskan baca buku dan silibus secepat mungkin, buat homework, dan tahu jawab soalan peperiksaan.

1 Beberapa hari lepas saya sambung lagi pembacaan saya. Bukunya bertajuk al-Raheeq al-Makhtum. Semenjak bulan lepas, belum habis-habis lagi saya membacanya. Maklumlah, membaca e-book di dalam komputer memang lain suasananya dengan membaca buku sebenar. Tak boleh dibawa tidur dan kadang-kala tamak kerana nak buat beberapa kerja sekaligus menggunakan komputer itu.

2  Berbalik kepada Raheeq Makhtum. Sirah Nabawiyyah memang pernah saya baca dan pelajari sebelum ini, namun, selepas menghadiri dan menyampaikan ISK (ini sejarah kita) beberapa kali, barulah buku sirah nabawiyyah ini yang memberi kesan kepada saya.
Mungkin kerana saya sudah sedar betapa penting dan menariknya sejarah kita, iaitu sejarah Islam untuk ditanam di dalam hati kita. Lagi satu, cara penyampaiannya lebih mudah untuk difahami, menarik, dan menyentuh hati.

Lantas saya terfikir, banyak betul yang kita tidak tahu tentang Rasulullah s.a.w., sedangkan Rasulullah sangat sayangkan umatnya. Kita juga perlu beriman kepadanya, namun jika tak kenal, maka tak cinta. Ramai di kalangan kita yang tak cintakan Rasul.
Sehinggakan bila Rasulullah dicaci dan dihina, kita boleh pula buat tak endah. Padahal sejak sekolah rendah lagi kita diajarkan tentang kisah-kisah Rasulullah dan Nabi-nabi yang lain. Malah, hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pun disambut tanpa apa-apa perasaan.

3  Di dalam minda ini idea mula bercambah: Alangkah baiknya jika setiap hari kita buat giliran, seorang pelajar ditugaskan membacakan buku Raheeq Makhtum ini di dalam perhimpunan dengan gaya bercerita. Tentu menarikkan? Melalui cara ini, kita boleh belajar daripadanya mengenai junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak perlu menunggu tarikh 12 Rabiulawal untuk memulakannya.

4  Baru tadi saya membeli Majalah I edisi Mac 2007. ada satu artikel tulisan Ustaz Maszlee Malik bertajuk Kempen Muhammad Rahmatan Lil ‘Alamin pada mukasurat 64 yang sangat bertepatan dengan cadangan atau idea saya tadi.

“..Di dalam menyikapi isu ini, Dr Yusuf al-Qardawi dan beberapa ulama lain di Qatar telah melancarkan satu kempen. Kempen yang bersifat aman ini timbul dari kesedaran bahawa ramai lagi penduduk dunia yang tidak mengenali peribadi Rasulullah s.a.w. Maka kempen ini bertujuan untuk mempromosikan Rasulullah secara besar-besaran di Eropah dan di seluruh dunia dilancarkan…”

Kempen ini mempunyai 3 fokus, iaitu melalui online (laman web), cetakan dan penyebaran (leaflet, cd, media, risalah, buku, dll.) dan juga ruang forum terbuka cerdik pandai Islam. Yususf Qardawi juga telah mensasarkan bulan November sebagai tarikh bermulanya kempen secara intensif dan besar-besaran di negara-negara Eropah.

Jadi, tunggu apa lagi? Mari kita sama-sama gunakan kemahiran yang ada untuk mempromosi dan mengenali Rasulullah yang seharusnya menjadi contoh dan teladan umat Islam di seluruh dunia. The greatest role-model!
Let’s start Now! Start Reading, Start Learning, Start Sharing the story!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails